Pada kali ini saya akan menerangkan kaedah yang betul dalam menguruskan kewangan. Kaedah ini kita boleh kategorikan kepada 7 prinsip penting dalam menyimpan wang.

#1 Potong 10% daripada pendapatan setiap bulan

Potong sekurang-kurangnya 10% daripada pendapatan bulanan untuk dijadikan simpanan yang dilupakan. Simpan dan lupa. Jangan diingat-ingat lagi. Jangan tunggu duit lebih

Sebaiknya pejam mata dan terus potong untuk simpanan. Sampai satu masa, duit itu boleh dimanfaatkan untuk gandakan kekayaan melalui perniagaan atau pelaburan

#2 Sulitkan kaedah pengeluaran simpanan

Simpanan di tempat yang agak susah dikeluarkan seperti Tabung Haji (tiada kad ATM) dan simpanan EMAS

Kalau simpan dalam Tabung Haji, jangan sekali-kali ambil kemudahan pengeluaran melalui mesin ATM di bank lain. Kalau mudah dikeluarkan, duit simpanan itu tidak akan bertahan lama. Senang BOCOR!

#3 Mulakan sekarang walaupun sedikit

Mulakan simpanan sekarang walaupun sedikit tidak kira berapa banyak pun jumlahnya. Simpan apa yang termampu. Yang sebenarnya penting ialah memupuk TABIAT menyimpan

Pesan pakar kewangan Tuan Azizi Ali, selagi anda tidak menyimpan wang, selagi itulah anda tidak akan menjadi kaya!

#4 Asingkan segera bahagian simpanan

Asingkan cepat-cepat bahagian simpanan sebaik sahaja dapat gaji atau terima hasil perniagaan. Jangan tangguh-tangguh. Paling baik buat potongan gaji supaya duit itu dapat diselamatkan sebelum sampai ke tangan kita lagi

Selebihnya baru guna untuk belanja. Duit yang tidak diasingkan segera sangat berisiko untuk dibelanjakan

Takut-takut terguna sebelum selamat disimpan

#5 Cukupkan dana kecemasan

Letakkan matlamat simpanan sekurang-kurangnya berjumlah 3bulan gaji kasar sebagai dana kecemasan. Lebih baik 6bulan gaji

Dana kecemasan itu penting sebagai tabungan kalau hilang pekerjaan atau ada hal-hal kecemasan

#6 Laburkan semula keuntungan simpanan

Laburkan semula apabila mendapat keuntungan daripada simpanan. Kalau dapat dividen, labur semula dividen itu supaya wang itu berganda

Kalau dibelanjakan setiap kali dapat dividen, ibarat kita mencantas pokok yang belum lagi berbuah sebab kuasa beli “nilai pokok” simpanan tersebut sebenarnya susut setiap tahun dimakan inflasi

Duit RM100 000 hari ini tidak sama kuasa belinya pada 10tahun akan datang

#7 Ambil takaful yang betul

Jangan jadikan takaful atau insuran sebagai tempat menyimpan wang, tetapi ambil polisi takaful hanya sebagai perlindungan daripada musibah yang boleh menjejaskan kedudukan kewangan, seperti musibah kematian, hilang upaya untuk bekerja, kos rawatan hospital yang besar atau penyakit kritikal

Kalau simpan duit dalam takaful, kita akan rugi pada caj takaful yang dipanggil “wakalah fee” yang bukan sedikit. Takaful bertujuan untuk perlindungan kewangan jika berlaku sebarang musibah. Ia bukan untuk simpanan

Itulah 7 Prinsip dalam menguruskan kewangan kita. Sebaik-baiknya, kita ikuti setiap prinsip supaya kewangan kita dapat diuruskan dengan kaedah yang betul

Leave a Reply